Monday, May 4, 2009

Kekaburan Sejarah Kelantan

Terdapat pihak yang mengatakan terdapat penyelewengan yang berkaitan dengan fakta sejarah negeri ini. Pendedahan yang telah dibuat menyebabkan ada pihak yang terasa. Penyelewengan itu dikatakan bermula dengan terbitnya buku "Ringkasan Cetera Kelantan" oleh Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud Bin Ismail sebelum tahun 1950-an. Penyelewengan fakta ini dipercayai dilakukan secara terancang dan berterusan ini terbukti dengan terbitnya buku terbaru sejarah Kelantan iaitu "Iktisar Sejarah Kelantan" yang kemudiannya diiklankan di dalam majalah "Pengasuh" keluaran MAIK.
Dikatakan, ramai yang tidak menyedari bahawa selepas kejatuhan "Kota Lubang Kubu" akibat Perang Kota Lubang Labu II pada tahun 1762 di antara Long Mohamad yang memerintah Kota Lubang Labu dengan Long Gaffar (Long Gaffar merupakan Raja Muda Negeri Reman dan bukannya anak pembesar Reman seperti yang didakwa di dalam buku di atas), negeri ini kemudiannya telah diperintah oleh Long Gaffar dan keturunannya.
Pusat pemerintahan utama semasa pemerintahan Long Gaffar di Negeri ini ialah di Kota Limbat, Peringat dan pada masa yang sama seorang tokoh iaitu Long Yunus (anak Long Sulaiman) yang merupakan sahabat baik Long Gaffar yang dianggap sebagai adik oleh baginda Long Gaffar. Lalu Long Yunus telah diberikan kuasa memerintah oleh Long Gaffar dari kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan Di sebelah Baratnya hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat. Peristiwa ini yang menyebabkan munculnya nama "Kelantan", yang dikatakan berasal dari perkataan "Negeri yang Dikerat Lintang" antara Raja yang memerintah iaitu baginda Long Gaffar yang berpusat di Kota Limbat dengan Long Yunus dan sempadannya ialah Pasir Tumbuh.
Fakta tersebut dikatakan cuba diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu di Kelantan dengan memutarbelitkan peristiwa (menyatakan Long Yunus yang beri kuasa kepada Long Gaffar) bertujuan bagi memperkecilkan dan seterusnya menghapuskan peranan Long Gaffar dalam lipatan sejarah Kelantan sedangkan dalam perang tersebut, dipercayai Long Gaffar berjaya berperang dan mengalahkan Long Mohamad yang dibantu oleh Long Deraman.
Semasa pemerintahan baginda Long Gaffar dan keturunannyalah, telah terlaksana Hukum Hudud di Kelantan. Di antara tokoh yang terlibat dan menjadi tempat rujukan dan nasihat bagi perlaksanaan hukuman ini ialah Haji Nik Ismail Limbat (Tok Baruh) yang merupakan keturunanan Raja Jambu Patani yang asal. Keturunannya kemudian mengasaskan pondok Bukit Abal dan salah seorang dari keturunannya muncul sebagai tokoh agama yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
Pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan berakhir selepas peristiwa pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915 iaitu semasa pemerintahan Tengku Besar Jeram iaitu Tengku Besar Tuan Ahmad yang memerintah di Jeram, Pasir Puteh. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan keturunan Long Gaffar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganan mengiktiraf pengaruh Inggeris dan Siam di negeri Kelantan. Akibat mainan politik penjajah Inggeris dan Siam, para keturunan Long Yunus kemudiannya diiktiraf sebagai pemerintah Kelantan.

0 comments: