ARTIKEL

Long Jaafar [Long Gaffar] dan Long Yunus di Terengganu
Dalam sejarah ada menerangkan suatu kisah ganjil yang dikatakan ada berlaku di Terengganu:
Kisah ini membayangkan setelah Long Deraman [Raja Legeh] dan Long Jaafar [seorang putera raja yang memerintah Reman di wilayah Yala, Thailand hingga ke Hulu Perak] memerangi Long Pandak dan berjaya membunuhnya kira-kira dalam tahun 1171H [1757M] maka bermuafakat Long Jaafar dan Long Yunus datang ke Terengganu bersama-sama Panglima Muda Terengganu dan empat puluh orang pengiringnya dengan membawa ayam sabungan Long Jaafar bernama Bakas Racun untuk bersabung dengan ayam sabung Panglima Bugis yang semasa itu berada di Terengganu.

Menurut kisah itu lagi, Long Yunus dan Long Jaafar ada mengadap Yang Dipertuan Terengganu bersama rombongannya dan diterima oleh Yang Dipertuan dengan sukacitanya serta diserahkan segala urusan yang berkaitan dengan menyabung ayam itu kepada kedua-duanya. Kemudian pergilah Long Jaafar berjumpa Panglima Bugis untuk menetapkan hari persabungan itu. Apabila genap tempuhnya, sebelah menyebelah pun membawa ayam masing-masing ke Seberang Takir. Kesudahan sabungan itu menang ayam Bakas Racun riuh rendah sorak sorai kemenangan itu hingga kedengaran kepada Yang Dipertuan yang sedang bersemayam di balai penghadapan lalu baginda menitah hulubalangnya pergi melihat, kerana kedengaran sorak sorai itu saperti orang Kelantan.

Setelah hulubalang suruhan Yang Dipertuan sampai di pengkalan, didapati Long Yunus, Long Jaafar dan Panglima Muda sedang menyeberang balik dari Seberang Takir dan disambutnya terus mengadap Yang Dipertuan.
Long Yunus telah menyembah kepada Yang Dipertuan, perihal kemenangan ayamnya dan berjaya dalam petaruhan yang dijanjikan iaitu kalau kalah ayamnya, akan terserahlah kepada lawan sebahagian Negeri Terengganu dari Tanjung ke Kuala Setiu dan dan peranggannya dari tepi laut ke daratan sejauh dua ribu dada [satu dada bersamaan satu depa] sebaliknya jikalau kalah ayam Bugis hendaklah diserahkan tujuh buah jong bersekali muatannya sebagai persembahan kepada Yang Dipertuan. Sekarang ayamnya telah menang dan beras bekalan telah diberi kepada Bugis untuk balik ke Pahang kerana kekalahannya.

Murut cerita lagi alangkah besar kesukaan Yang Dipertuan mendengar berita kemenangan itu dan menjadi bertambah kasih mesra baginda kepada keduanya, hingga setiap hari boleh dikatakan sentiasa bersama Long Yunus dan Long Jaafar. Lebih kurang selama lima bulan keduanya berada di Terengganu maka pada suatu hari kedua-duanya memohon hendak balik ke Kelantan bersama dengan tiga orang anaknya, pembesar-pembesar dan penglima-panglima dengan diiringi oleh seratus hulubalang.


Catatan ini ditulis oleh ahli sejarah Raja-Raja Terengganu MISBAHA

Ulasan:


Peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Terengganu Kedua iaitu Sultan Mansor Ri’ayat Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin I [1733–1793].
Berpunca dari peristiwa ini Che’ Engku Tuan Nawi, salah seorang puteri Sultan Mansor telah berkahwin dengan Long Yunus.

Salah seorang putera Sultan Mansor pula, Tengku Muhammad [Raja Kelantan waktu putera sulung Long Yunus masih kecil] berkahwin dengan puteri Long Yunus bernama Engku Wan Teh [dengan isteri terdahulu].

Di sini kita lihat Long Gaffar adalah seorang setia kawan yang luhur, baginda tidak pernah mengambil peluang untuk dirinya. Dalam banyak peristiwa berlaku sebelum dan selepas ini, baginda tetap memberi laluan kepada orang lain hatta dalam perlantikan raja-raja. Walau pun begitu, baginda adalah seorang musuh yang sangat merbahaya; sesiapa yang bermusuh dengannya akan menerima padah yang berat.

Saya menyeru kepada semua keturunan Long Gaffar supaya menjaga dan mengikut kehebatannya dengan berkelakuan baik, beriman, setiakawan dan berbudi luhur.