Di negeri Bendang Saring terdapat seorang raja yang mempunyai seorang puteri yang bernama Neng Cayang. Puteri ini dikatakan amat cantik dan menjadi rebutan sekalian putera-putera raja dari seluruh pelusuk negeri. Raja Bendang Saring berfikir bagaimana cara terbaik untuk memilih bakal suami kepada puteri tunggal kesayangannya ini. Pokok Saring, sejenis pokok kipas yang amat tinggi mencecah awan yang menjadi lambang dan nama kepada negeri itu rupa-rupanya telah memberi ilham dan buah fikiran kepada baginda untuk mengadakan pesta memilih menantu raja, dan pokok itulah yang dijadikan syarat dan asas utama pertandingan. Raja Bendang Saring ingin mengadakan pertandingan memanjat pokok saring, dan siapa sahaja dapat memanjatnya dengan sekaligus dapat pula mengambil sepelepah daunnya, maka dialah yang akan di jadikan menantu raja kelak dan akan menerima 10 buah negeri dalam taklukan baginda raja Bendang Saring.
Sewaktu putera tengah dari keturunan Pagar Ruyung itu tiba di negeri Bendang Saring didapati rajanya sedang mengadakan pesta memilih menantu. Ramailah putera-putera raja mencuba nasib mereka untuk memiliki Puteri Neng Cayang, di mana seorang demi seorang, silih berganti memanjat pokok Saring, tetapi mereka gagal. Berikutnya Baginda mengisytiharkan titahnya, "bahawa tidak kira siapa sahaja, dari mana golongan hamba rakyat sekalipun dibenarkan mencuba nasib mereka dengan menyertai pertandingan". Titah tersebut sampai ke telinga putera tengah dari Pagar Ruyung itu, maka teringinlah baginda untuk mencuba nasibnya. Tetapi, apabila diberitahunya hasratnya itu kepada raja, baginda telah ditertawakan oleh semua oleh semua yang hadir, bahkan lebih dari itu baginda dikatakan seorang gila dan digelarkannya 'Batak Putih'.
--sambungan--
Wednesday, March 18, 2009
Pesta Memilih Menantu
Posted by Kerabat Muda Long Gaffar at 11:56 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment